2013: 5 tips mencapai azam tahun baru

Selamat tahun baru! Adat manusia, tidak pernah puas hati dengan apa yang ada — kita mesti mahukan sesuatu yang lebih. Mungkin itulah sebabnya lahir tradisi membuat azam tahun baru (new year’s resolution). Di awal tahun, bermacam-macam azam di dalam minda kita.

Tahun baru, azam baru

Tahun baru, azam baru

Berikut adalah di antara azam tahun baru yang popular:

– kurangkan berat badan
– berhenti merokok
– melangsaikan hutang piutang
– belajar benda baru
– melancong ke luar negeri
– mendekatkan diri dengan keluarga
– mendalami ilmu keagamaan
– membantu orang yang kurang upaya
– mencari kerja(ya) baru
– membeli benda baru: kereta, rumah, gajet

Mungkin anda sendiri ada beberapa azam seperti senarai di atas.

Jika anda ada azam baru, kami ingin berkongsi beberapa cara untuk membantu anda mencapai azam tersebut dalam tahun 2013 ini.

1. Pastikan azam anda spesifik

Tanpa azam yang spesifik, amat sukar untuk kita membuat rancangan untuk mencapai azam tersebut. Ambil masa lebih kurang sepuluh minit untuk berfikir mengenai azam anda. Sebagai contoh — anda ingin mengurangkan berat badan. Apakah sasaran berat badan yang ideal untuk anda? Adakah terdapat sesuatu acara di mana anda ingin menunjukkan badan “baru” anda? Mungkin bila balik kampung Hari Raya akan datang, ataupun satu acara pool party.

Ini adalah contoh azam yang spesifik:

Saya ingin menurunkan berat badan saya sekurang-kurangnya 2kg sebulan, dengan sasaran susut 15kg pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

2. Rakamkan azam anda

Azam yang tidak ditulis adalah azam yang akan mudah dilupakan. Tulis (dengan tangan) dan pamerkan azam anda di tempat yang anda boleh nampak setiap hari. Berbalik kepada contoh mengurangkan berat badan, anda boleh meletakkan penyata azam anda di pintu peti sejuk.

Sekali selang beberapa minggu atau setiap bulan, rujuk kembali kepada azam anda. Adakah anda masih mempunyai azam yang sama?

Tulis azam anda dengan tangan sendiri. Gambar oleh Kevin Williamson

Tulis azam anda dengan tangan sendiri. Gambar oleh Keith Williamson

3. Berkongsi dengan kawan

Semua akan menjadi lebih mudah sekiranya anda ada buddy yang turut mempunyai azam yang sama. Ini membolehkan anda berdua saling memberi motivasi dan sedikit persaingan dalam mencapai sasaran bulanan anda. Anda juga boleh berkongsi tips dan ganjaran.

4. Ambil langkah kecil

Bahagikan sasaran azam anda kepada unit yang lebih kecil dan realistik. Jika anda berazam melangsaikan semua hutang piutang anda, anda boleh memilih hutang yang membawakan kadar faedah yang paling tinggi dahulu. Sebagai contoh, lebih baik membayar hutang kad kredit (kadar faedah 13-15% setahun) berbanding menyelesaikan bayaran hutang kereta (kadar faedah 3-7% setahun).

Cuba fikirkan “kemenangan” jangka pendek – apakah yang anda boleh capai di penghujung bulan Januari atau Februari nanti? Menurunkan berat badan sebanyak 2-4kg jauh lebih senang dari 15-20kg.

Langsaikan hutang dengan kadar faedah tinggi (seperti kad kredit) terlebih dahulu. Gambar oleh Alan Cleaver.

Langsaikan hutang dengan kadar faedah tinggi (seperti kad kredit) terlebih dahulu. Gambar oleh Alan Cleaver.

5. Janjikan ganjaran peribadi

Setiap pencapaian, walaupun kecil, patut diraikan. Ini boleh memberi motivasi yang lebih kepada diri anda, agar boleh mengambil langkah seterusnya. Oleh itu, janjikan pada diri anda beberapa ganjaran kecil sepanjang tahun ini, apabila anda mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Contohnya:

Apabila saya tidak merokok selama 2 bulan, saya akan membeli iPad mini baru dengan wang yang saya jimatkan.

Ingin berhenti merokok? 100 kotak rokok = 1 iPad mini. Gambar oleh nasrulekram.

Ingin berhenti merokok? 100 kotak rokok = 1 iPad mini. Gambar oleh nasrulekram.

Semoga tips kami boleh membantu anda mencapai azam tahun 2013.

Ada tips lain? Kongsikan bersama kami di Twitter @JiwaKL.

Posted in Praktikal
JiwaKL adalah sumber untuk info dan aktiviti terkini di sekitar Lembah Klang. Kami juga berkongsi pengalaman dan tips untuk memudahkan kehidupan harian dan menyelesaikan masaalah besar dan kecil.
Kalendar
Iklan